DUNGUN – Perkenalan seorang gadis yang bekerja
sebagai pembantu restoran makanan segera di daerah ini dengan seorang
jejaka, membawa detik hitam apabila kesucian dirinya dinodai kekasih.
Detik mendukacitakan itu berlaku di sebuah hotel bajet, dekat sini, apabila gadis berusia 19 terbabit menjadi mangsa kerakusan hubungan luar nikah dilakukan kekasihnya sendiri.
Rahsia gadis terbabit terbongkar dalam serbuan
sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Agama Syariah Dungun, kira-kira jam 8.30
pagi kelmarin selepas menerima maklumat mengatakan pasangan menyewa
bilik hotel itu berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketika serbuan, pasangan lelaki itu dikatakan
membuka pintu, manakala kekasihnya pula difahamkan sempat masuk ke bilik
air untuk mandi.
Hasil soal siasat mendapati, mereka tidak
mempunyai hubungan muhrim, sebaliknya lelaki itu datang dari Kuala
Lumpur dengan menaiki bas untuk bertemu kekasihnya yang dikenali setahun
lalu sebelum menginap di hotel tersebut.
Lelaki berasal dari Tanah Merah, Kelantan yang
bekerja sebagai pekerja swasta di Rawang, Selangor itu sanggup datang ke
Dungun untuk melampiaskan nafsu bersama kekasihnya yang juga dari
Kelantan, malah mereka dikatakan baru pertama kali memadu asmara dan
tidur bersama.
Akibat perbuatan terkutuk itu, pasangan terbabit
akhirnya ditahan bagi siasatan lanjut kerana melakukan perbuatan sebagai
persediaan untuk melakukan persetubuhan.
Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 29 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau tidak lebih dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Turut dirampas, coli dan seluar dalam wanita itu untuk dijadikan bahan kes dalam prosiding pendakwaan pada awal Disember nanti.
Gadis berusia 19 tahun dan teman lelakinya berusia 22 tahun
dibawa ke Pejabat Agama Dungun selepas ditangkap khalwat dalam sebuah
bilik hotel di Dungun.
Catat Ulasan