Kepentingan Alat Pencegah Kehamilan



 

TAHUKAH anda penyusuan susu badan secara eksklusif telah terbukti sebagai satu bentuk kawalan kontraseptif semulajadi yang baik dan berkesan.

Seperti yang dijelaskan oleh Pakar Perunding Pusat Pakar Wanita Bangsar, Dr. Kamaljit Kaur Manoche, kajian menunjukkan bahawa penyusuan boleh menghalang peluang kehamilan secara berkesan sehingga 98 peratus meskipun kadar kejayaan itu melibatkan kriteria tertentu.

Sekiranya mahu memastikan anda tidak hamil dalam tempoh penyusuan susu badan eksklusif itu, cuba amalkan kaedah laktasi amenorea (LAM) selain memahami bahawa penyusuan (pengeluaran susu ibu) akan menyebabkan amenorea (kekurangan haid).

Syarat LAM akan dipenuhi sekiranya bayi anda berusia bawah enam bulan, tempoh haid ibu tidak kembali melebihi 56 hari berturut-turut dan ibu memastikan bayi disusukan mengikut permintaan bayi, samada pada waktu siang atau malam hari.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan kadar kehamilan masih boleh meningkat kepada tujuh peratus apabila bayi mencecah usia lebih enam bulan.

"Ini bermakna, anda tidak digalakkan untuk hanya bergantung kepada penyusuan eksklusif untuk mencegah kehamilan, sebaliknya dicadang menggunakan juga kaedah kontraseptif yang lain," tambah pakar perunding berkenaan.

Antara kaedah yang baik untuk digunakan dalam tempoh penyusuan badan itu ialah kaedah pil perancang progestogen atau kaedah kontraseptif halangan seperti kondom.

FAHAMI ILMU 


Biar apapun kaedah yang menjadi pilihan pasangan suami isteri untuk mengelak kehamilan, Pakar Obstetrik dan Ginekologi itu lebih menekankan kepentingan kesedaran dan pengetahuan mengenai perancangan keluarga.

"Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia, jantina, agama, status perkahwinan mahupun demografi perlu tahu dan sedar akan kepentingan kontraseptif dan perancangan keluarga," saran beliau.

Sayangnya, ramai orang yang merasa terlalu bimbang dengan risiko penggunaan kontraseptif sedangkan pada masa yang sama ramai pula yang tidak menimbangkan risiko atau bahaya kehamilan.

Justeru, demi mewujudkan kesedaran yang lebih baik serta penerimaan awam terhadap kaedah perancangan keluarga, masyarakat perlu bersikap lebih terbuka dalam isu ini.

Walaupun fungsi utama kontraseptif adalah untuk mencegah kehamilan, beliau berpendapat bahawa ia juga mempunyai fungsi untuk meningkatkan tahap kesihatan wanita.

Ini termasuk memperbaiki dan melancarkan haid, mengurangkan risiko anemia, mengurangkan risiko kanser rahim dan ovari, mengurangkan risiko sista ovari serta gangguan dysphoric pra-haid.

Dr. Kamaljit turut menjelaskan bahawa beberapa fakta yang perlu diketahui serta mitos berkaitan kontraseptif terutamanya pil perancang keluarga yang agak kerap didengari.

MITOS POPULAR

Antara fakta penting ialah statistik menunjukkan sekurang-kurangya 340,000 wanita meninggal dunia setiap tahun akibat masalah berkaitan kehamilan serta kehamilan itu sendiri.

"Sedangkan isu itu boleh diatasi dengan pengetahuan dan perancangan keluarga yang betul," kata beliau.

Sekitar 1.5 juta wanita pula berhadapan dengan risiko hilang keupayaan selepas hamil atau bersalin, yang mana isu ini juga boleh diatasi dengan nasihat doktor dan membuat perancangan keluarga yang teliti.


Kajian juga mendapati bahawa pil perancang keluarga bukan sahaja mampu menghalang kehamilan dengan berkesan, malah ia mampu membantu melindungi wanita daripada risiko kanser ovari dan endometrium.

Antara mitos popular berkaitan dengan pil perancang keluarga ialah ia menyebabkan kanser, penyakit kemurungan dan penambahan berat badan.

Bagaimanapun, Dr. Kamaljit menafikan kebenaran mitos ini memandangkan tiada bukti saintifik mahupun kajian klinikal yang dapat menyokong dakwaan itu.

Tambahnya lagi, ada juga yang berpendapat, tiada salahnya sekiranya anda terlepas rutin pengambilan pil di akhir pek atau melangkau pengambilan pil di tengah-tengah pek kitaran, sedangkan ini juga tidak benar.

"Untuk mendapatkan kesan pil yang efektif, ia mesti diambil sepanjang kitaran yang ditetapkan dan melangkau rutin pil biarpun di mana anda berada pada kitaran itu boleh membuatkan anda hamil," jelas beliau.

Mengenai kepelbagaian jenis pil perancang, beliau menjelaskan terdapat dua pilihan iaitu samada gabungan dua jenis hormon iaitu Estrogen dan Progestogen ataupun yang hanya mengandungi hormon Progestogen.

Oleh itu, beliau berharap agar wanita yang mahu memulakan pengambilan pil perancang berbincang dahulu dengan doktor sebelum membuat keputusan.

Satu lagi mitos yang sering didengar ialah penggunaan kondom akan membuatkan hubungan seks menjadi hambar dan tidak menyeronokkan untuk lelaki, tetapi bagi beliau, ia hanyalah satu persepsi yang juga dikira palsu.

KEPENTINGAN KONTRASEPTIF

Sebenarnya, amalan perancangan keluarga mempunyai peranan penting lain selain keperluan mengawal saiz penduduk dunia yang terlalu pesat, iaitu untuk mengurangkan risiko kematian dan meningkatkan taraf kesihatan ibu.

Terdapat kira-kira 185 juta kehamilan setiap tahun, namun malangnya sekitar 40 peratus adalah kehamilan yang tidak dikehendaki dan lebih malang lagi, satu daripada empat kehamilan tidak sengaja itu telah digugurkan.

Menggugurkan kehamilan adalah lebih berisiko terutama jika tidak melalui doktor bertauliah, lantas menjadikan penggunaan alat pencegah kehamilan sesuatu yang penting buat pasangan.

Apatah lagi, Dr. Kamaljit berpendapat bahawa dari dalam aspek memperkasakan wanita, kehamilan sepatutnya adalah satu fasa yang dikehendaki oleh seseorang wanita, yang memerlukannya bersedia dari segi psikologi, fizikal dan mental.

Beliau turut mencadangkan penggunaan alat pencegahan kehamilan yang selamat untuk para wanita berorientasikan kerjaya yang mahu mencapai kejayaan sebelum memulakan keluarga.

Dari sisi yang lain pula, kontraseptif selamat juga menjadi keperluan dalam menangani isu kebimbangan dalam sosio-ekonomi. 

"Misalnya, wanita dari golongan berpendapatan rendah yang sudah tentu turut berhadapan dengan masalah peningkatan kos sara hidup perlu menimbang keperluan kontraseptif supaya mereka tidak hamilkan anak yang tidak mampu mereka sara," jelasnya.

Bagi pasangan yang mempunyai ramai anak pula, merancang keluarga membolehkan mereka menjarakkan usia antara anak supaya kesihatan ibu dan anak dapat dijaga dengan lebih sempurna, selain baik untuk perkembangan anak yang sedia ada.

Untuk pelajar sekolah pula, beliau menekankan kepentingan pendidikan seks yang komprehensif, kaunseling serta akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif termasuk ilmu berkaitan penggunaan kontraseptif.

Ini bagi mengurangkan kes kehamilan pada usia remaja yang sudah pasti mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi pelbagai masalah kesihatan seperti kelahiran pramatang, bayi tidak cukup berat serta kematian bayi.

Bagi golongan yang menghadapi masalah kesihatan seperti sakit jantung dan buah pinggang juga disaran mengamalkan teknik pencegahan kehamilan memandangkan mereka dianggap berisiko tinggi sekiranya hamil.

 "Laporan menunjukkan bahawa kematian ibu boleh dicegah sehingga 73 peratus sekiranya mereka tidak mengambil risiko untuk hamil," tambah beliau.

Kontraseptif juga boleh digunakan sebagai cara untuk membetulkan isu obstetik dan ginekologi tertentu seperti sindrom ovari polisistik (PCOS) asalkan seseorang itu mendapatkan nasihat dokktor. - 

Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ilmu Batin Hebat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger