Seorang lelaki pernah memberitahu saya bahawa buah zakar dan
alat kelaminnya kerap termasuk ke dalam kulit sejak beberapa bulan lalu. Dia
juga berkata, kedua-dua buah zakarnya kecut dan zakarnya mengecil.
Dia tidak gemuk dan perkara ini tidak pernah berlaku ketika
zaman muda. Dia juga ada seorang anak berumur sembilan tahun.
Apabila saya tanya kenapa hanya seorang, dia menjelaskan
sudah berpisah dengan pasangannya enam tahun lalu dan kini masih menduda. Sejak
itu, dia tidak melakukan onani, malah tidak mengalami mimpi basah. Berdasarkan
semua jawapan itu, saya merumuskan zakarnya menjadi kecil dan kecut kerana
tidak digunakan lagi.
Saya teringat cerita beberapa sahabat yang bertanya Imam
Al-Nawawi kenapa anggota kelamin mereka kecut dan tidak bermaya apabila kembali
daripada pengembaraan selepas berniaga dan pulang ke pangkuan isteri.
Imam Al-Nawawi menyatakan, jika lama tidak digunakan,
anggota itu akan menjadi ‘tak berguna’. Dia juga menjelaskan cara mencergaskan
kembali anggota itu dengan membelai dan mengusap dengan niat menyegarkannya
semula.
Mungkin agaknya cara mengurut dan mengusap anggota kelamin
menjadi amalan sebilangan lelaki kita untuk mengekalkan keaktifan anggota
kelamin.
Namun, cara ini tidak berguna jika anggota kelamin lelaki
tidak berfungsi akibat penyakit atau masalah kesihatan.
Mereka perlu berjumpa doktor untuk menyelesaikan masalah
mati pucuk, bukan mencuba ubat daripada pasaran gelap atau mendapat rawatan
daripada mereka yang tidak bertauliah.
Memandangkan hubungan seksual satu aktiviti lasak, ia
memerlukan tenaga fizikal yang mantap. Jika lemah atau letih, sukar untuk
memulakan atau meneruskannya. Pencapaian ereksi pula memerlukan perjalanan
darah yang lancar dalam otot zakar dan kekuatan otot benteng zakar untuk
mengekalkan ketegangan zakar.
Jika darah tidak lancar, ereksi gagal dan jika otot benteng
zakar tidak kukuh, ereksi tidak kekal. Pendek kata, untuk menjayakan hubungan
kelamin, badan perlu sihat dan anggota kelamin perlu berfungsi dengan sempurna.
Semua ini boleh tergugat apabila kesihatan tergugat. Cara
bijak untuk mengekalkan tahap kesihatan cemerlang ialah dengan mengamalkan gaya
hidup sihat.
Amalkan pemakanan seimbang, jaga berat badan, hindari rokok
dan minuman keras serta urus tekanan dengan baik. Sememangnya semua yang
disarankan itu nampak senang tapi ternyata secara rambang, sangat sukar
melakukannya. Anda boleh bayangkan keadaan lelaki muda yang sepatutnya
mempunyai daya kemampuan syahwat yang mantap, tetapi sebaliknya pula berlaku.
Kegemukan atau obesiti, tidak melakukan senaman berkala,
tidak banyak bergerak tapi banyak duduk, merokok, minum minuman keras,
penggunaan dadah, banyak aktiviti malam, tekanan, masalah kesihatan seperti
peningkatan kolesterol dan penyakit kronik (tekanan darah tinggi atau penyakit
kencing manis sewaktu umur muda) menggugat fungsi seksual dan mengakibatkan
masalah seksual.
Jika mahu jauhkan diri daripada masalah seksual seperti mati
pucuk, masalah cepat klimaks yang menandakan kelemahan syahwat dan mengekalkan
kesihatan seksual pada tahap terbaik, lakukan apa saya syorkan.
Jika keadaan masih sama, itu bermakna masalah terbabit
perlukan sokongan rawatan dan rawatan itu perlu daripada doktor, bukan dengan
membeli ubat atau produk daripada Internet atau kawan.
Jumpa doktor dan jalani pemeriksaan serta dapatkan bimbingan
dan perawatan berkualiti dan selamat. Lelaki tidak boleh malu untuk mendapatkan
rawatan bagi menyelesaikan masalah seksualnya. Masalah seksual adalah penyakit
dan ia perlu dirawat oleh doktor.
Catat Ulasan