Setelah berpuluh tahun membina perkahwinan, ada kala kemesraan suami
isteri semakin lama semakin menjadi pudar. Ini bukan bermakna kasih
sayang yang dibina itu sudah hilang tetapi kemungkinan isteri sebagai
ibu sibuk dengan urusan rumah tangga dengan anak-anak ditambah pula
kehadiran cucu. Suami pula sibuk dengan bebanan urusan pejabat yang
semakin bertambah. Peluk cium antara suami isteri seakan sepi tidak
seperti dua puluh tahun dahulu.
Menurut kajian, seorang suami yang memeluk isterinya untuk
sekurang-kurangnya 10 saat setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun.
Fakta berdasarkan kajian oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubungan
antara sentuhan dan tahap kesihatan.
Seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari
kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan
pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.
Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak
sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan. Jelasnya, selain
mempunyai kesan positif dari segi saintifik dan kesihatan sentuhan,
pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah
Rasulullah s.a.w. Berilah layanan yang istimewa kepada suami agar dapat
selalu dipeluk olehnya.
1. MURAH PUJIAN
Tidak kira bagaimanapun sikap suami, jangan sekali-kali menjatuhkan air
mukanya terutama di hadapan anak-anak. Selalu memberi puji-pujian dan
kata-kata sanjungan. Jika suami membuat kesilapan seperti meninggalkan
kain pelikat di hujung katil, apabila mahu menegurnya mulakanlah dengan
tujuh kali puji-pujian terhadap mereka seperti, “abang nampak kacak hari
ini”, “saya tengok abang semakin segak sekarang dan paling tidak saya
rasa bahagia hidup di sisi abang tetapi pagi tadi, abang tertinggal
kain pelikat di hujung katil dan sudah saya basuhkan”. Dengan
puji-pujian ini sudah tentu suami akan memberikan pelukan hangat dan
mungkin mendapat sebuah ciuman.
2.BERMAAFAN SEBELUM TIDUR
Salah satu cara untuk mengeratkan hubungan suami isteri dengan selalu
bermaafan setiap kali sebelum tidur. Ucaplah kata-kata maaf atas apa
sahaja perlakuan kita sepanjang hari dan berjanji tidak akan
mengulanginya pada keesokan hari dan hari-hari yang mendatang. Suami
juga secara tidak langsung akan berbuat perkara yang sama. Peluklah
suami sebelum tidur dan anda pasti mendapat pelukan balas.
3. MENGHORMATI SEMPADAN PERIBADI SUAMI
Sebagai seorang isteri yang baik anda perlu menghormati hak peribadi
suami. Memang antara suami isteri tidak patut ada rahsia antara satu
sama lain tetapi kadang-kadang suami ada perkara yang tidak mahu
isterinya tahu. Bukan maksudnya mahu membelakangkan isteri tetapi
niatnya murni tidak mahu menyusahkan isteri. Janganlah mendesak suami
untuk menyatakan halnya tetapi sebaliknya katakan padanya “walau apapun
yang abang lakukan dan walau apapun keputusan abang, saya sentiasa
menyokong abang”.
4. MUHASABAH HUBUNGAN UNTUK MENCARI PUNCA MASALAH
Hubungan suami isteri tidak akan lari dari perselisihan faham. Jika
perkara yang kecil cepat-cepatlah perbaiki semula. Jika masalah yang
melanda agak besar, sentiasa muhasabah hubungan dan mencari perkara
yang positif dalam usia perkahwinan yang sudah menjangkau jubli perak
ini. Paling baik, sentiasa mencari punca masalah dan selalu berbincang
dengan suami. Cara ini paling berkesan dan menguntungkan ke dua belah
pihak.
5. MENERIMA KELUARGA PASANGAN
Tunjukkan kita menyukai dan mengasihi orang-orang yang dihargai oleh
pasangan kita. Pasangan yang intim dan bahagia saling suka menyukai kaum
keluarga dan sahabat handai masing-masing. Mereka banyak menziarahi
kaum keluarga dan rakan-rakan, selalu menolong dan sering mengajak
mereka datang ke rumah. Bagi menunjukkan kita menyukai kaum keluarga dan
sahabat handainya, pujilah mereka supaya dia tahu apa yang kita sukai
berkenaan mereka itu. Jangan sekali-kali mengkritik dan mengumpat
mereka.
6. MENGUBAH DIRI UNTUK MERANGSANG PERUBAHAN PASANGAN
Peredaran zaman membuatkan kehidupan manusia turut berubah. Jangan
samakan kehidupan suami kita dua puluh tahun dahulu. Jika dahulu
pendapatannya kecil tetapi kini sudah jauh berubah. Perubahan itu
membuatkan komitmen juga turut berubah. Ubahlah diri dari segi mental
dan fizikal selari dengan perubahan suami. Dalam erti kata lain berubah
mengikut peredaran zaman. Jangan suami sudah sampai ke bulan kita masih
mahu bertatih di bumi.
7. BERCAKAP DARI LUBUK HATI
Bercakaplah secara tulus dari hati berkenaan apa yang sedang difikirkan
dan dirasakan. Masing-masing mempunyai ‘instinct’ terhadap satu sama
lain. Kadang-kadang apa yang bermain di fikiran suami sudah boleh diduga
oleh isteri. Itulah kehebatan sang isteri. Jangan berdusta dengan cara
memendamkan perasaan yang sebenarnya.
8. BENTUK KOD-KOD KASIH SAYANG UNTUK SUAMI
Kadang-kadang bila anak-anak sudah besar, kita malu menyatakan sayang
kepada pasangan. Apa kata anda ciptakan kod-kod istimewa yang hanya
anda dan suami sahaja yang faham. Misalnya ‘1-4-3’ yang mempunyai maksud
‘I love you’ atau kod-kod yang mudah seperti ‘ikan keli’ dan
sebagainya. Dengan kod-kod ini pasti anak-anak akan terpinga-pinga apa
yang diucapkan oleh anda dan suami.
Sumber Mingguan Wanita
Catat Ulasan