Soalan
Saya sudah berumah tangga selama 1 tahun dan selama
setahun ini kami hanya berjumpa dua minggu sekali kerana bertugas di
negeri yang berlainan. Saya memohon kepada pihak doktor untuk memberi
nasihat dan pandangan untuk membolehkan kami mendapat zuriat
memandangkan usia saya menjangkau 38 tahun. Adakah kekerapan hubungan
seks dan kedudukan selepas hubungan seks juga mempengaruhi masalah ini?
Risya, Kedah
Jawapan
Banyak proses yang perlu dilalui sebelum doktor dapat memastikan
rawatan yang terbaik. Pada peringkat awal, kesihatan anda berdua akan
diperiksa untuk memastikan adalah baik.
Hubungan seks yang normal ialah dua hingga tiga kali seminggu. Pun
begitu, kejayaan untuk hamil bergantung kepada proses pengovulan (proses
bertelur), hubungan seks sewaktu subur, bilangan dan pergerakan sperma
(benih suami) yang normal, tiada penyumbatan pada salur Fallopio dan
juga persekitaran rahim yang normal.
Sewaktu wanita berada di peringkat subur dan melakukan hubungan seks,
maka sperma akan memasuki faraj atau vagina pada masa yang tepat,
sperma ini akan dilindungi daripada persekitaran faraj yang berasid. Hal
ini dapat memelihara sperma daripada lendiran mukus semula jadi.
Antara faktor yang mempengaruhi sama ada sperma itu berjaya sampai
kepada ovum termasuklah kebolehannya untuk berenang dan pergerakan
rerambut halus (silia) yang terdapat pada salur Fallopio. Pergerakan
silia ini akan membantu sperma untuk sampai kepada ovum.
Secara purata, sebanyak tiga milimeter (ml) air mani atau semen yang
akan diejakulasi ke dalam faraj. Terdapat 60 juta sperma dalam satu ml
air mani. Ini bermakna hampir 200 juta sperma akan memasuki faraj semasa
proses ejakulasi berlaku tetapi hanya satu sperma yang diperlukan untuk
proses persenyawaan. Sekiranya bilangan sperma di bawah aras 20 juta
per ml, maka peluang untuk hamil ialah rendah.
Sperma dapat hidup dalam mukus (lendir) pangkal rahim antara 48
hingga 72 jam. Justeru, hubungan seks hendaklah dilakukan
sekurang-kurangnya pada selang sehari semasa waktu subur. Hal ini kerana
ovum hanya boleh disenyawakan di dalam masa 12 hingga 24 jam setelah
dikeluarkan, maka penting untuk sperma berada di luar ampula untuk
menunggu masa bersenyawa dengan ovum. Ini bermakna waktu yang amat
sesuai untuk melakukan hubungan seks ialah sebelum proses pengeluaran
ovum atau pengovulan. Bagi wanita yang mempunyai kitar haid selama 28
hari, masa yang sesuai bermula pada hari ke-11 hingga ke-16. Jika
hubungan seks berlaku setelah proses pengovulan, peluang untuk hamil
rendah.
Hubungan seks yang kerap bukan pada waktu yang tepat tidak mencukupi.
Hubungan seks amatlah penting dilakukan pada waktu subur. Waktu subur
dapat dikira dari jarak masa kitar haid yang sebelumnya, melalui carta
suhu, atau melihat perubahan kelikatan mukus (lendir) pangkal rahim.
Sperma perlu berada di dalam salur Fallopio pada waktu subur.
Dengan mengadakan hubungan seks sekurang-kurangnya pada hari ke-11
daripada kitaran haid bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang
normal, maka peluang persenyawaan berlaku adalah tinggi. Pada hari-hari
berikutnya, kekerapan hubungan seks boleh dilakukan mengikut kehendak
pasangan masing-masing.
Menahan diri daripada melakukan hubungan seks sebelum waktu subur
bagi tujuan menambahkan bilangan sperma dan meningkatkan kesuburan
hanyalah suatu mitos. Bilangan sperma akan meningkat tanpa melakukan
hubungan seks selama dua hingga tiga hari, tetapi ramai lelaki yang
subur boleh menghasilkan jumlah sperma yang mencukupi melalui hubungan
seks dengan lebih kerap.
Terdapat dua sebab pasangan suami isteri tidak melakukan hubungan
seks dalam jangka masa yang lama. Pertama, risiko terlepas waktu
pengovulan dan kedua, sperma akan menjadi kurang aktif. Oleh itu,
penting untuk mengagak masa pengovulan berlaku supaya hubungan seks
dapat dilakukan dua hingga tiga hari sebelumnya. Turut diberikan
perhatian ialah kehadiran sperma yang subur dan bersedia untuk
bersenyawa sebaik-baik sahaja ovum dikeluarkan.
Wanita tidak perlu baring selepas hubungan seks dilakukan.
Persenyawaan terjadi apabila sperma sampai ke salur Fallopio dan
bersenyawa dengan ovum. Kehamilan berlaku daripada hubungan seks dalam
pelbagai posisi. Pergerakan sperma tidak bergantung pada posisi tertentu
yang harus dikekalkan oleh wanita.
Oleh itu, wanita tidak perlu untuk berbaring di atas katil atau
berehat seketika setelah melakukan hubungan seks. Menurut petua orang
tua, dengan meletakan bantal di bawah punggung atau menaikkan kaki
selepas selesai melakukan hubungan boleh membantu dalam proses
persenyawaan sebenarnya kurang tepat.
Anda berdua perlu bersegera berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan dan ujian bagi mendapatkan zuriat.