Kesan Pengambilan Ubat Hormon

 

HORMON dikatakan memberikan pengaruh yang besar pada tubuh badan, cerminan penampilan dan emosi. Paling utama, hormon mempengaruhi mood, kemampuan dan keinginan seksualiti, kesuburan, kesihatan kulit, rambut, penglihatan dan suhu badan. 

Pendek kata, ia memainkan peranan penting dalam perkembangan tubuh badan dan minda. Namun, apa terjadi jika lelaki mengambil hormon wanita?

Bekalan ubat murah serta mudah diperoleh antara faktor mendorong golongan 'mak nyah' ghairah bereksperimen dengan ubat-ubatan untuk mengubah penampilan menjadi wanita.

Ini diakui sendiri bekas mak nyah, Mohd. Khariri Ramli, 36, atau lebih mesra dipanggil Erin.

Katanya, pil hormon seperti Marvelon dan Mercilon yang digunakan golongan itu untuk membesarkan payu dara hanya berharga sekitar RM9 hingga RM10, serta mudah dibeli di kebanyakan farmasi di negara ini.

Selain pil hormon dalam pil perancang, golongan ini turut mengambil suntikan kolagen, implan, hormon, vitamin C dan B.

Mohd. Khariri yang bergelumang dalam dunia mak nyah selama 17 tahun mengaku pernah mengambil pelbagai suntikan serta ubat-ubatan dan tidak lokek membelanjakan ratusan ribu ringgit bagi membiayai beberapa pembedahan pada wajah dan tubuhnya untuk kelihatan cantik.

Mengimbas perjalanannya sebagai mak nyah, Mohd. Khariri yang juga pengasas Persatuan Kebajikan Darul Modahish (PKDM) berkata, dia menjalani rutin sebagai guru lelaki pada sebelah siang dan bertukar watak menjadi seorang wanita pada sebelah malamnya.

Bagaimanapun, selepas menempuh pengalaman pahit 'bercinta' dengan beberapa lelaki, beliau tekad untuk menjalani hidup normal.

Kini Mohd. Khairiri mengambil keputusan membuang kolagen dan implan yang disuntik ke dalam tubuhnya ekoran kesihatannya sering terganggu akibat ketidakseimbangan hormon selain kerap mengalami kekejangan otot.

Dalam pada itu, dia menasihatkan agar lelaki yang ingin menjadi mak nyah tidak perlu memilih jalan singkat seperti mengambil pil hormon tanpa nasihat doktor.

Katanya, perubahan fizikal dan masalah kesihatan yang dialaminya kini sangat azab.

Pun begitu, dia bersyukur kerana sudah meninggalkan dunia gelap tersebut.

Fungsi hormonMenurut Pakar Runding Perubatan Estetik, Dr. Alice Prethima, badan kita mempunyai pelbagai hormon antaranya estrogen, hormon pertumbuhan manusia, melatonin, pregnenolon, progesteron, testosteron, kortisol, dehidroepiandrosteron (DHEA) dan tiroid.
Setiap daripadanya mempunyai fungsi unik.

"Misalnya, hormon estrogen dan progesteron adalah untuk sistem reproduktif wanita manakala testosteron pula untuk lelaki. Pregnenolon untuk ingatan, kortisol untuk imuniti dan stres," ujarnya.
BerbezaSebab itulah lelaki dan wanita mempunyai keperluan hormon yang berbeza.

Tambah Dr. Alice, penyalahgunaan hormon bukan sahaja memberi kesan kepada lelaki kerana wanita yang mengambil ubat hormon tanpa nasihat doktor juga berisiko.

Mengulas kecenderungan golongan mak nyah makan ubat hormon seperti pil perancang keluarga, Dr. Alice memberitahu, ia seperti satu trend dalam masyarakat sekarang.

"Mereka mengambil hormon wanita untuk membesarkan payu dara, melicinkan kulit dan mendapatkan bentuk badan wanita. 

"Proses ini tidaklah berlaku dalam masa yang singkat dan sebab itulah ada yang mengambil suntikan, implan dan pembedahan untuk membentuk payu dara dan punggung.

"Masalahnya, ubat-ubat kini boleh diperolehi dengan cara yang mudah dan murah. Ini juga boleh memberi kesan pengambilan ubat hormon yang mungkin tidak selamat selain kesan sampingan ubat itu sendiri," katanya.

Tambah Dr. Alice, penyalahgunaan ubat-ubatan tersebut mendedahkan mereka dengan risiko pelbagai penyakit kronik termasuk kanser payu dara dan prostat.

Kandungan estrogen dalam pil itu meskipun dalam sukatan yang rendah menjadikan darah cepat melekit dan menyebabkan dinding saluran darah menjadi tebal.

Pembekuan darah itu biasanya mula terbentuk di bahagian kaki seterusnya berpindah ke paru-paru, jantung dan otak yang boleh mengakibatkan kematian atau lumpuh.

"Pil-pil hormon estrogen dan progesteron lazimnya disarankan oleh doktor kepada wanita. 
Penggunaannya boleh membantu wanita mengatasi masalah ketidakseimbangan hormon dan masalah yang biasa mereka alami seperti keguguran rambut, jerawat dan sebagainya," ujarnya.


Sumber : utusan online
© Utusan Melayu (M) Bhd

Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ilmu Batin Hebat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger