Dugaan Ibu Mengandung

 

Macam-macam ragam orang mengandung, ada sesetengahnya buat perkara atau makan benda pelik yang melampaui batas normal. Walaupun, kebanyakan wanita mengandung mengidam makanan menjadi kebiasaan, ada juga mengidam makan benda yang kadangkala sukar akal fikiran untuk menerimanya seperti kiwi kasut, beras, sabun, minum minyak angin dan sebagainya.

Ramai berpendapat, mengidam berkait rapat dengan perubahan hormon dalam badan. Pada peringkat awal mengandung, rahim banyak menghasilkan hormon yang dapat mengganggu keseimbangan tubuh dan ia akan menimbulkan pelbagai reaksi dalam diri wanita berkenaan.
Itulah sebabnya wanita mengidam ini biasanya berlaku di awal kehamilan iaitu sehingga 16 minggu kandungan. Tetapi ada juga mengidam di akhir kehamilan iaitu apabila hampir tempoh untuk bersalin kerana ketika ini, banyak hormon yang dikeluarkan oleh badan.

Selain itu, ada kajian dijalankan dan menyatakan, ia berpunca apabila tahap hormon serotonin rendah dalam badan, seterusnya merangsang otak yang mengawal selera makan. Seterusnya, ia merembes hormon endorfin yang menyebabkan peningkatan makanan berunsur lemak dan karbohidrat.

Oleh sebab itulah makanan mempunyai tahap gula yang tinggi seperti coklat dan jeruk lebih banyak diidamkan, berbanding makanan kurang gula termasuklah sayur-sayuran dan sebagainya.

Apabila gula berinteraksi dengan sistem opiod dalam badan, ia akan mencetuskan suatu ketagihan. Ini menyebabkan, individu yang mengambil makanan bergula akan terus menginginkan makanan manis.

Masam hilangkan loya
Apa pun, mengidam asam atau jeruk begitu sinonim dengan wanita mengandung. Tanpa mengira jenis asam atau jeruk, lazimnya wanita hamil dikatakan suka mengambil makanan itu bagi menahan rasa loya yang dialami sepanjang tempoh mengandung.

Ada juga yang bertanggapan, rasa loya atau teringin terhadap jeruk itu adalah pembawaan anak dalam kandungan. Mitos pula mengatakan jika si ibu tidak menikmati apa yang diinginkan akan memberi kesan kepada anak.

Apa yang pasti, sungguhpun pengambilan makanan masam seperti jeruk tidak mengganggu pertumbuhan janin, namun ia boleh mengundang masalah kesihatan kepada ibu. Justeru ia juga mampu mengancam janin di dalam perut akibat kekurangan nutrien yang seimbang.

Pensyarah Kanan dan Dietitian, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata ketika kehamilan, pemakanan yang sihat adalah amat penting bagi memastikan fetus atau anak dalam kandungan mendapat kesemua zat yang diperlukan untuk mencapai pembesaran optimum ketika dalam kandungan.

Pada awal kehamilan, wanita biasanya mengalami pelbagai perubahan seperti mual dan loya yang menyebabkan selera makan berkurangan atau hanya suka kepada sesuatu jenis makanan saja.

Ada juga yang mengidam dan ingin makan pelbagai jenis makanan seperti jeruk atau asam yang sering menjadi pilihan ketika kehamilan sama ada ketika loya, mual serta ketika mengidam, katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Jeruk dan asam memang sedap dimakan terutama apabila tekak terasa loya atau mual, tetapi makanan yang boleh dikelaskan sebagai makanan ringan itu mungkin boleh memberi kesan tidak baik kepada kandungan.

Kurang nutrien sebab mengidam

Barakatun berkata, bahan asas dalam penghasilan jeruk adalah garam, gula, air, dan cuka. Bagi jeruk yang dikomersilkan, bahan pengawet seperti sodium benzoate perlu ditambahkan untuk memanjangkan jangka hayat jeruk.

Selain itu, bahan pewarna tiruan seperti tartrazine juga dicampur untuk menambahkan daya tarikan kepada makanan. Dari aspek pemakanan, kita mengetahui bahawa keperluan wanita hamil adalah amat tinggi berbanding ketika tidak hamil bagi memastikan perkembangan fetus di tahap optimum.

Beberapa penyelidik turut mengaitkan, kekurangan sesuatu nutrien menerangkan kenapa wanita hamil mengidam kepada sesuatu jenis makanan.

Sebagai contoh, Barakatun berkata, rasa mengidam kepada benda yang masam seperti jeruk kemungkinan menunjukkan wanita hamil itu kekurangan garam, dan ada juga yang mengidamkan makanan berprotein tinggi seperti daging mengaitkan wanita hamil ini kekurangan protein.

Wanita mengandung juga perlu peka terhadap kandungan zat dalam makanan yang diambil kerana apa yang dimakan akan memberi kesan juga kepada fetus atau bayi dalam kandungan.

Perlu juga diingat, wanita hamil wajar mengambil bahan asam dengan jumlah sederhana. Jangan pula memakan jeruk sehingga menjadi kenyang lalu melupakan jadual pemakanan utama.

Selain itu, sepanjang kehamilan memerlukan sekurang-kurangnya tambahan 300 kalori atau satu hidangan nasi dengan lauk-pauk berbanding sebelum hamil. Justeru, carilah makanan lain selain jeruk yang masam, misalnya air halia hangat dan elakkan pengambilan makanan bergoreng dan bersantan bagi mengurangi rasa loya. 
 
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ilmu Batin Hebat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger